Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kementerian Pertahanan anjur Majlis Ibadah Korban
09/06/2025




Kementerian Pertahanan petang tadi mengadakan Majlis Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1446 Hijrah yang berlangsung di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison, di sini.

Sebanyak lapan ekor kerbau dan dua ekor kambing dikorbankan dan diagihkan kepada 150 penerima yang terdiri daripada warga Kementerian Pertahanan, termasuk 20 pesara tentera serta 30 saudara baharu.

Secara keseluruhannya, jumlah binatang korban pada tahun ini di semua perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) adalah sebanyak 36 ekor kerbau, dua ekor sapi dan 15 ekor kambing.

Hadir dan menyempurnakan pengagihan daging korban ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Turut hadir, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Alirupendi bin Haji Perudin serta Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB; pegawai-pegawai dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan.

Jemputan-jemputan khas yang turut diundang ialah Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat; Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Misle bin Haji Abd. Karim; dan Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu; imam-imam Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Damit, Kampung Madang dan Masjid Mohammad Bolkiah, Kampung Serusop; serta Pemangku Penghulu Mukim Berakas 'A'.​


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto